Malay

Kemanisan Iman

Oleh Jinan Yousef | Diterjemahkan oleh Aisyah Yuhanis

Siri Solat (Prayer Series in Malay) English Version

Bahagian IBahagian IIBahagian IIIBahagian IVBahagian VBahagian VIBahagian VIIBahagian VIII | Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI | Bahagian XVII | Bahagian XVIII | Bahagian XIX | Bahagian XX | Bahagian XXI | Bahagian XXII | Bahagian XXII | Bahagian XXIII | Bahagian XXIV | Bahagian XXV | Bahagian XXVI | Bahagian XXVII

Satu Soalan

 

Bayangkan anda seorang penjenayah, dan untuk semua jenayah yang anda lakukan, seorang raja yang hebat menitahkan anda akan dipenjarakan selama 50 tahun. Dan baginda mengatakan selepas 50 tahun itu, baginda akan bertanya satu soalan; jika anda menjawab dengan betul, anda akan dibebaskan. Jika tidak, anda akan dikenakan hukuman penalti – mati. Apabila anda di dalam penjara, apa yang akan anda fikirkan selama 50 tahun itu? Adakah anda akan berfikir selain daripada kemungkinan soalan itu?

Sekarang bayangkan lagi, ada orang lain di penjara bersama anda yang berkata, “ aku tahu apa yang raja akan tanyakan.” Apa yang anda rasa? Adakah anda akan merayu untuk tahu. Dan apabila telah tahu, adakah anda akan membuat persediaan untuk memberikan jawapan yang terbaik.

Realitinya, kita semua dipenjara. Pada hari perhitungan nanti, ada satu soalan yang akan ditanya pada kita, dan jika kita menjawab dengan betul, InsyaAllah semuanya akan selamat. Jika tidak, kesannya amat parah. Dan artikel ini mengandungi soalan yang kita semua hendak tahu. Bukannya daripada saya, tetapi Rasulullah ﷺ kesayangan kita:

.أول ما يحاسب به العبد يوم القيامة هي الصلاة. فإن صلحت، صلح سائر عمله. وإن فسدت، فسد سائر عمله

“Perkara pertama yang akan dihisab dari seorang hamba pada hari perhitungan adalah solat. Jika solatnya baik, maka akan baik seluruh amalnya. Jika solatnya rusak, maka akan rusak seluruh amalnya” (diriwayatkan oleh Al-Tirmidhi, Bayhaqi, Nisa’i).

Kita akan menjadi salah seorang daripada 5 kategori manusia yang akan berhadapan dengan soalan ini. Yang mana satu kita?

Solat di dalam masjid dan khusyuk

Kategori pertama adalah lelaki yang solat di masjid dengan khusyuk, atau perempuan yang terus menunaikan solat sebaik sahaja selesai azan, juga dengan khusyuk. Ini adalah peringkat tertinggi dan jika anda begini, usahalah untuk kekal begini. Allah berfirman:

الذين هم على صلاتهم يحافظون أُولائِكَ فِى جَنَّٰاتٍ مُّكْرَمُونَ

“Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya.  Mereka itulah di dalam syurga, mendapat kemuliaan” (Qur’an, 70:34-35).

Allah juga berfirman tentang mereka yang khusyuk:

أولائك هم الوارثون الذين يرثون الفردوس هم فيها خالدون

“Mereka itulah orang-orang yang mewarisi. Yang mewarisi syurga Firdaus, sedang mereka kekal di dalamnya” (Qur’an, 23:10-11).

Firdaus adalah tahap syurga yang tertinggi.

Solat di masjid tanpa khusyuk

Orang-orang sebegini menerima ganjaran solat di masjid. Rasulullah ﷺ bersabda:

صلاة الجماعة أفضل من صلاة الفرد بسبع وعشرين درجة

“Solat yang dikerjakan secara berjemaah adalah 27 kali ganda lebih baik daripada solat bersendirian” (dipersetujui oleh Sahih).

Namun, kekurangan khusyuk bukannya isu kecil. Umar r.a. pernah berdiri di mimbar masjid dan berkata:

“Seseorang itu mungkin menginjak usia dengan Islam tetapi Allah tidak memberikannya ganjaran untuk satu solat pun.”

Dia ditanya, “Bagaimana demikian itu?”

Umar r.a. menjawab, “Kerana dia kekurangan khusyuk.”

Lihat pada contoh orang yang solat dengan khusyuk. Al-Qasim bin Muhammad r.a. melawat Aisyah r.a. pada suatu pagi. Dia melihat Aisyah r.a. bersolat dan membaca ayat:

فمن الله علينا ووقانا عذاب السموم

“Lalu Allah memberi kurnia kepada kita dan memelihara kita daripada seksa neraka” (Qur’an, 52:27).

Apabila dia membaca ayat ini, dia akan menangis, dan mengulang-ngulang ayat itu. Dia melakukan ini berulang-ulang sehinggakan Al-Qasim r.a. menjadi bosan dan pergi ke pasar untuk mendapatkan sesuatu. Apabila pulang, dia melihat Aisyah masih berdiri di tempat yang sama, masih membaca ayat yang sama dan menangis.

Muslim bin Yasar merupakan satu lagi contoh orang yang jarang terganggu di dalam solatnya. Suatu hari, sebahagian masjid telah runtuh, dan semua orang bergegas menuju ke tempat itu, kerana mereka tahu dia di sana. Mereka mendapati dia masih berdiri di tempat yang sama, masih tidak terganggu.

Solat di rumah

Apakah bezanya solat di rumah dan di masjid? Pertamanya kita perlu tahu kelebihan bersolat di masjid. Rasulullah ﷺ bersabda:

إذا أمن الإمام فأمنوا، فإنه من وافق تأمينه تأمين الملائكة غفر له ما تقدم من ذنبه

“Jika imam membaca amin maka bacalah amin. Sebab orang yang membaca amin bersama aminnya malaikat, maka dia diampuni dosanya yang telah silam.” (Riwayat Al Bukhari).

Sa’eed Al-Musayib berkata, “Dalam masa 40 tahun, muazzin tidak azan melainkan aku berada di dalam masjid.”

Di sini, kita boleh melihat dedikasi yang utuh. Ubaydillah bin Umar Al-Qawariri berkata:

“Aku tidak akan terlepas solat Isyak di masjid. Suatu hari, aku didatangi tetamu, lalu aku meluangkan masa bersamanya sehingga aku tersedar aku terlupa menunaikan solat Isyak di masjid. Lalu aku mencari-cari di jalan-jalan Basra masjid yang masih belum memulakan solat, namun aku mendapati semua orang telah solat. Aku pulang ke rumah, memikirkan kata-kata Rasulullah ﷺ bahawa solat berjemaah itu melebihi solat bersendirian sebanyak 27 kali. Lalu aku solat di rumah sebanyak 27 kali. Malam itu aku bermimpi aku menunggang kuda, berlumba dengan sekumpulan manusia, namun aku tidak berjaya mengejar mereka. Salah seorang daripada mereka berkata, ‘Kamu tidak akan dapat menandingi kami.’ Bilaku tanya mengapa, dia mejawab, ‘kerana kami solat bersama-sama, dan tidak pula kamu.’ Dan aku bangun dari tidur dalam kesedihan.”

Mereka yang bersolat di luar waktu

Jika kita tahu kita akan menaiki penerbangan pada pukul 4 petang, adakah kita akan sampai pada pukul 5 petang? Tidak, kerana terlalu berisiko – kita telah membayar tiket, orang sedang menunggu kita atau kita perlukan cuti. Sedangkan solat itu lebih penting, jadi bagaiman kita boleh terlepas solat subuh dan menunaikannya pada pukul 10 pagi? Atau sembahyang zuhur dan asar sekaligus? Atau tunggu sehingga masuk waktu isyak sebelum menunaikan solat maghrib?

من حافظ عليها كانت له نورًا وبرهانًا ونجاة يوم القيامة ومن لم يحافظ عليها لم تكن له نورًا ولا برهانًا ولا نجاة وكان يوم القيامة مع قارون وفرعون وهامان وأُبيَّ بن خلف

“Sesiapa yang menunaikan solat pada waktunya, maka baginya cahaya, petunjuk dan pertolongan pada hari akhirat. Sesiapa yang tidak menjaganya, maka tiadalah baginya cahaya, petunjuk atau pun pertolongan, dan pada hari kiamat, dia akan dihimpunkan bersama dengan Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf” (diriwayatkan oleh Ahmad).

Orang yang tidak bersembahyang

Berapa lama masa diambil untuk solat? 5 minit? Mungkin 10 minit jika anda solat dengan khusyuk. Dan masih bagi kita 50 minit sehari untuk Allah sudah cukup banyak. Dengar hadis ini:

بين الرجل وبين الكفر ترك الصلاة

“Perkara yang membezakan antara seseorang dengan kafir adalah meninggalkan solat” (Bukhari).

Tanya diri anda, termasuk dalam kategori yang mana? Semoga Allah meletakkan kita dalam golongan pertama.

About the author

Malay Translator

6 Comments

  • […] II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI| Bahagian VII | Bahagian VIII| Bahagian IX | Bahagian X |Bahagian XI |Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian XVI […]

  • […] II | Bahagian III | Bahagian IV | Bahagian V | Bahagian VI| Bahagian VII | Bahagian VIII| Bahagian IX | Bahagian X | Bahagian XI | Bahagian XII | Bahagian XIII |Bahagian XIV | Bahagian XV | Bahagian […]

  • Jazakallahu khairan ya akhi. Amat memberikan ilmu dan pengetahun yg mendalam dan memberi kesan terhadap ibaadah yg di’amalkan. Mohon disebarkan.

Leave a Reply to Yang Menguasai Hari Pembalasan X